‘Kawan’ nak beritahu ni.....
ada 6 persoalan hidup di dunia ni yang kita ambil ringan dan anggap sebagai “titik bengik” semasa kita masih hidup. Jadi, ‘kawan’ naklah berpesan-pesan dan menyampai-nyampaikan ilmu dan pengetahuan pada rakan-rakan dan diri ‘kawan’ sendiri.
Bukan apa, ada perkara yang kita dah sedia maklum dan belajar, cuma kita tak praktikkan. Ada juga yang kita terlupa. Sebelum kita sama-sama terus terlupa ‘kawan’ ada nota untuk kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan. Insya Allah lebih baik lagi kalau kita dapat war-warkan dan sebar luaskan.
Suatu hari Imam Al-Ghazali bertanya. Pertama, “Apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini?,” Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, ibu bapa dan juga kerabatnya. Imam Al-Ghazali menjelaskan, semua jawapan tersebut betul, TETAPI yang paling dekat dengan kita ialah “MATI”. Kenapa? Sebab itu memang sudah menjadi janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Al-Imran: 185)
Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan pertanyaan kedua, “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?,”. Murid-muridnya ada yang menjawab negara, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan tersebut betul TETAPI yang paling tepat ialah “MASA LALU”. Jelasnya, bagaimanapun kita, apa pun kenderaan yang kita gunakan, kita tidak mampu kembalikan masa yang sudah berlalu! Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.
Imam Al-Ghazali meneruskan lagi dengan pertanyaan ketiganya. Soalnya, “Apa yang paling besar di dunia ini?,” Murid-muridnya ada yang menjawab gunung dan bumi. Sekali lagi semua jawapan tersebut betul TETAPI Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa yang paling besar sekali di dunia ini ialah “NAFSU” (Al-Araf: 179). Maka dengan itu, kita harus menjaga hati dengan nafsu kita. Jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
Pertanyaan keempat Imam Al-Ghazali ialah, “Apakah yang paling berat di dunia ini?,” Ada yang menjawab besi dan gajah. Semua jawapan tersebut hampir betul TETAPI yang paling berat ialah “AMANAH” (Al-Ahzab). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan para malaikat semua tidak mampu memikul tanggungjawab setelah Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah s.w.t. sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.
Imam Al-Ghazali meneruskan pertanyaannya yang kelima. “Apakah yang paling ringan di dunia ini?,” Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daun. Semua itu betul TETAPI yang paling ringan di dunia ini ialah “MENINGGALKAN SOLAT”. Manusia selalu mengabaikan tanggungjawabnya mendirikan solat dengan meninggalkan solat dan melambat-lambatkan seruan solat kerana leka dan lalai dengan urusan dunia.
Kemudian tibalah kepada pertanyaan keenam dan terakhir Imam Al-Ghazali. “Apakah yang paling tajam di dunia ini?,” Murid-muridnya serentak menjawab pedang. Benar kata Imam Al-Ghazali TETAPI yang paling tajam di dunia ini ialah “LIDAH MANUSIA”. Ini adalah kerana, melalui lidah manusia ia boleh menyakiti hati dan melukai perasaan saudara sendiri.
Begitulah rakan-rakan, memang betul semua perkara yang kita baca tadi kan, malah banyak yang ‘terkena’ dengan kita. Jadi ‘kawan’ harap ‘kawan’ sendiri dan rakan-rakan sama-salah muhasabah diri. Insya Allah kita mampu menjadi manusia yang terbaik di muka bumi Allah ni dan makhluk pilihan di akhirat kelak.
LAGU IMAN MUTIARA OLEH RAIHAN
1 orang respon entri ni...:
Jawapan yang bagus !!
Catat Ulasan